Di sini saya ingin berkongsi teks khutbah yang telah saya bacakan sejak tahun 2005 hinggalah tahun ini di surau dan masjid yang berlainan. Tidak jemu menyampaikannya kepada jamaah masjid atau surau kerana isinya sangat baik untuk tatapan semua.
Allahuakbar9X, walillahilhamd.
Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran, sekali lagi kita menyambut Eidul-Fitri pada tahun ini. Eidul-Fitri adalah hari kemenangan dan kejayaan bagi seluruh umat Islam yang betaqwa kepada Allah.
Selama sebulan kita umat Islam melaksanakan ibadat puasa, berjuang melawan nafsu, supaya sentiasa mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Di siang hari kita berpuasa menegah kehendak nafsu. Di malam hari kita mengerjakan pelbagai ibadat fardhu dan sunat seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, zikrullah, qiamullail dan lain-lain lagi. Kesemuanya itu merupakan proses tarbiyah atau pendidikan langsung daripada Allah SWT melalui ibadat puasa bagi melahirkan insan yang bertaqwa.
Firman Allah SWT:
(Surah al-Baqarah: ayat 185)
Maksudnya,
“Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang2 yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.”
Nyata ditegaskan oleh Allah SWT bahawa matlamat ibadat puasa ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Di mana dengan peningkatan sifat taqwa itulah yang memampukan kita beroleh kemenangan mengalahkan segala runtutan hawa nafsu di sepanjang Ramadhan dan selepasnya. Orang yang berjaya menundukkan hawa-nafsu yang buruk sahajalah yang layak menyambut hari kemenangan ini. Kerana mereka berjuang, maka mereka layak diberi kemenangan.
Bagi orang yang tidak berjuang melawan hawa nafsunya, sebaliknya tunduk kepada kemahuan nafsu jahatnya, tidak memperdulikan perintah Allah SWT, dan hukum Allah samada tidak berpuasa atau melakukan perkara yang dilarang Allah, seperti berjudi, main tikam ekor, tidak dapat menjaga lidah daripada mengumpat sesama Islam, menghina agama dan para ulamak yang muktabar, maka baginya tiada apa-apa yang hendak dimenangi kerana mereka telah tewas sebelum berjuang.
Tentulah satu perkara yang mengaibkan jika seorang yang tidak pun masuk bertanding di gelanggang tetapi dia mengisytiharkan dirinya menang dan berpesta menyambut kemenangan. Gelagat seperti itu hanya menampakkan betapa kurang akal seseorang itu. Tentulah kita tidak mahu digolongkan atau dianggap sebagai orang yang kurang waras.
Allahuakbar 3X, walillahilhamd.
Sidang jamaah yang dikasihi sekelian,
Ibadat puasa yang mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri dan hadapan Allah SWT. Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.
Kita tidak melakukan semua itu semata-mata demi mematuhi perintah Allah. Pengajaran atau mesej di sebaliknya ialah kalau perkara yang asalnya adalah harus pun kita meninggalkannya kepada patuh kepada perintah Allah, maka tentulah perkara yang haram lebih mampu kita meninggalkannya kerana ia adalah arahan dan perintah daripada Allah.
Persoalannya adakah kita berjaya mencapai mesej tersebut? Hanya diri kita sendirilah yang boleh menjawabnya. Agenda dan tindakan kita seterusnya akan memberi jawapannya. Sekiranya hari ini dan hari-hari seterusnya kita menyambut dan melaluinya dengan melakukan kerja-kerja taat dan meninggalkan kerja-kerja munkar dan maksiat, maka itu menandakan tarbiyah yang kita lalui sebulan di bulan Ramadhan memberi kesan kepada diri kita dalam menentukan haluan dan tindakan hidup kita.
Sebaliknya jika pada hari ini, Hari Raya dan hari-hari seterusnya kita menyambut dan meraikannya serta melaluinya dengan meninggalkan kerja-kerja taat malah terus mengerjakan kerja-kerja mungkar dan maksiat, maka itu menandakan kita gagal mendidik nafsu kita di sapnajang Ramadhan.
Apakah kita mahu menjadikan diri kita orang-orang yang menang dan berjaya dalam kehidupan? Atau pun orang yang kalah atau gagal diperbudakkan oleh nafsu sendiri? Diri kita sendirilah yang boleh menjawabnya dengan tepat.
Allahuakbar 3X, walillahilhamd.
Sidang muslimin dan muslimat yang dihormati sekelian,
Hari ini selain menyambut hari kemenangan dalam perjuangan menundukkan hawa nafsu, juga merupakan hari melahirkan kesyukuran dan kegembiraan. Kita bersyukur dan bergembira kerana dapat menyambut Eidul-Fitrii - yakni hari kembali kepada fitrah. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.”
Setelah kita mendapat keampunan Allah SWT, maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Menginsafi keadaan ini, maka tentulah kita akan menjaga kesucian dan kemurniaan hari aidil-fitri ini, supaya tidak menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah dengan semangat dan hakikat aidil-fitri itu sendiri.
Firman Allah SWT:
(Surah al-Baqarah: ayat 185)
Yang bermaksud:
“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.”
Kalimah takbir dan tahmid sentiasa dikumandangkan di sepanjang malam dan pagi hari raya menandakan perasaan kesyukuran dan tidak terhingga. Sabda Rasulullah SAW:
“Zayyanuu ‘ayaadakum bittakbiri wattahmid”.
Yang bermaksud:
“Hiasilah hari raya kamu dengan takbir dan tahmid.”
Kemuncak rasa kesyukuran dan pengisytiharan kemenangan dilafazkan dengan penuh semangat dan kesedaran dalam satu nada dan satu tujuan iaitu menzahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Keheningan malam dan kedinginan pagi dipenuhi dnegan suara-suara takbir, tahmid dan tahlil yang menghidupkan hati dan jiwa mereka yang bertakwa mengingati kebesaran Ilahi. Itulah dia fitrah insan yang suci murni yang sentiasa rapat dan berhubung mesra dengan penciptaan. Fitrah insan yang suka kepada kebaikan dan menci kepada maksiat dan kemungkaran.
Allahuakbar 3X, walillahilhamd.
Sidang jemaah muslimin muslimat yang berbahagia,
Persoalannya sekarang sejauh mana kesucian hati dan kesucian hari raya ini dapat kita pelihara, kalau dalam masa yang sama sebahagian daripada kita menyambut hari raya dengan aturcara yang jelas berbeza dengan kehendak fitrah insan. Mereka mengadakan pesta lagu-laguan, konsert, persembahan budaya tari-menari, pendedahan aurat, pergaulan bebas lelaki perempuan dan sebagainya lagi yang menjurus kepada program maksiat dan melalaikan, dijadikan agenda utama mengisi hari raya. Apakah itu bertepatan dengan kehendak dan ajaran Islam?
Apakah setelah 50 tahun kita merdeka, kita masih lagi mahu terbelenggu dengan budaya mungkar ini? Dan yang peliknya budaya seumpama ini semakin menjadi-jadi dan dijadikan keutamaan pada hari kebesaran Islam, hari mengagungkan Allah dan hari kemenangan Islam ke atas kekufuran.
Islam mengharuskan kita berseronok dan bergembira, apa lagi di hari raya. Tetapi tentulah ada batasannya, tidak sampai mencemarkan kesucian hati dan keberkatan hari raya dengan acara-cara yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Apakah kita sebagai pemerintah dan rakyat jelata sekaligus tidak bercita-cita untuk mengembalikan suasana hari raya ini sebagaimana suasana yang penuh diberkati dan dihujani rahmat seperti di zaman Rasulullah SAW dan salafus-soleh?
Di pagi hari raya ini, semua kita tanpa mengira umur pangkat dan kedudukan sama-smaa mengunjungi rumah Allah menunaikan solat sunat hari raya. Tetapi kedapatan juga sebahagian anak-anak muda kita yang mengunjungi tempat-tempat hiburan, berpasang-pasangan, bergaul bebas tanpa betasan, Jika demikianlah lagaknya, apakah maknanya kita menyambut hari raya fitrah? Sedangkan perbuatan sedemikian telah mencemarkan fitrah kita sendiri dengan melakukan dosa.
Allahuakbar 3X, walillahilhamd.
Muslimin-muslimat yang dikasihi sekelian,
Pada hari raya yang mulia ini, marilah bersama-sama kita melakukan muhasabah. Sekiranya sebelum ini kita melakukan kesilapan, marilah kita bersama-sama membetulkannya supaya sesuai dengan fitrah kejadian kita, kerana sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat dna bermuhasabah memperbetulkan kesalahan yang dilakukannya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Kullu bani Adama khatto’uuna, wa khairul khatto’iina at-tawaabun”.
Yang bermaksud:
“Setiap anak adam tidak sepi daripada melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang segera bertaubat.”
Justeru itu, sempena hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita beristighfar, bertaubat dan memohon keampunan, semoga dengan keampunan dan rahmat Allah di hari yang penuh berkat ini kita mampu menjadi orang yang bertaqwa dan berguna kepada masyarakat dan negara, bukan sebaliknya. Sabda Rasulullah SAW:
“Khairunnaas, anfa’uhum linnaas”.
Yang bermaksud:
“Sebaik-baik manusia ialah orang paling bermanafaat kepada orang lain.”
Bertolak daripada fitrah atau keadaan yang bersih daripada dosa, setelah mendapat keampunan Allah SWT, janganlah kita mengulangi kesilapan yang lalu. Sebaliknya kita hendaklah mengambil sikap menjadi orang yang berguna di dalam kehidupan kita. Kita menjadi orang yang berguna dan berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara, berusaha bersungguh-sungguh membina keluarga bahagia dan berkualiti serta membentuk masyarakat yang penyayang.
Setiap daripada kita mempunyai peluang untuk menjadi insan cemerlang yang di redhai Allah SWT. Oleh itu janganlah kita membiarkan sifat-sifat dan gejala-gejala yang tidak sihat menguasai diri kita, yang menyebabkan hidup kita sengsara dan menderita. Bukan sahaja kita gagal menjadi manusia berguna, sebaliknya kita merelakan diri menjadi sampah masyarakat.
Sampai bilakah kita hendak melihat data-data kejadian maksiat yang semakin bertambah, keruntuhan akhlak yang kian parah, masalah dadah, aids, pembuangan bayi yang tidak kunjung sudah di kalangan muda-mudi maupun di kalangan orang-orang yang sudah dewasa di kalangan kita? Sampai bilakah kita mahu melihat gejala rasuah yang bermaharajalela di kalangan mereka yang berkuasa sehingga menjadikan kehidupan rakyat begitu terhimpit? Apakah tidak cukup lagi dengan gejala murtad dan keluar agama yang semakin serius di kalangan muda-mudi kita. Siapakah yang bertanggungjawab sehingga masalah ini semakin menjadi-jadi?
Sempena hari yang mulia ini di smaping kita bersyukur dan bergembira menyambutnya, kita hendaklah sama-sama menginsafi dan menanganinya supaya diri kita, keluarga, masyarakat dan negara kita tidak dibelenggu dengan masalah-masalah sosial yang tidak berkesudahan sedangkan usaha kita untuk mengisi agenda membangungkan negara dan ummah masih banyak menuntut kerja keras yang berterusan.
Kalau tarbiyah di bulan Ramadhan benar-benar dihayati maka sudah tentu gejala-gejala yang disebutkan tadi akan dapat dikurangkan dan dihapuskan terus. Persoalannya apakah kita semua menyedari dan mengakui hakikat ini? Di satu pihak, mimbar-mimbar khutbah di masjid-masjid saban waktu mengingatkan umat samada yang muda maupun yang dewasa, tentang tugas dan tanggungjawab mereka kepada ibubapa, keluarga, masyarakat dan negara supaya sentiasa dijaga dan dibina. Nilai-nilai iman dipupuk dan dibaja supaya kelak generasi muda terutamanya dapat meneruskan amanah mengisi agenda perjuangan mengangkat martabat umat dan memimpin negara.
Namun apa yang mendukacitakan kita, di satu pihak yang lain, benih dan tempat yang subur dan program-program yang melalaikan terus juga diberi laluan atau dalam istilah sekarang, diberi lesen. Disko, kelab malam, tempat-tempat hiburan yang mengkhayalkan umat dan melupakan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan masyarakat terus dibenarkan wujud. Lalu kedengaranlah berbagai-bagai masalah sosial yang dihasilkan. Kepada siapa hendak disalahkan? Kita sendirilah yang menjawabnya.
Kalau diumpamakan menanam pokok, kita tentu mahu pokok-pokok itu menghasilkan buah yang baik dan bermutu. Lalu kita membajanya dengan baja yang terbaik dan memeliharanya dari segala musuh tanaman yang merosakkannya. Kalau itulah hasrat dan cita-cita kita, tentulah kita tidak pula menaburkan racun ke atas tanaman kita dan membiarkannya diserang oleh ulat-ulat yang membawa penyakit. Barulah kita memperoleh hasil yang baik.
Kalau sebaliknya baja yang kita beri tidak pun mencukupi sedang racun yang ditabur melimpah ruah, bukan sahaja pokok tidak berbuah, malah mungkin mati menjadi sampah. Demikianlah kalau kita mahu melihat anak-anak kita, generasi muda kita, masyarakat kita berakhlak dengan akhlak yang baik dan mulia, maka mereka hendaklah diasuh, dididik dan dibajai dengan iman dan takwa yang mencukupi.
Persoalannya berapa peratuskah peranan yang telah kita mainkan untuk melahirkan akhlak dan buah yang baik itu? Sudahkah ibubapa berperanan sewajarnya? Apakah sukatan pendidikan yang mementingkan kejayaan dalam peperiksaan sudah memadai? Sudahkah masyarakat umum termasuk media berperanan secara serius untuk melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia, atau hanya mengejar keuntungan semata-mata, tanpa mengira akhlak umat ditimpa bahana? Apakah kita hendak menyuburkan satu trend seperti kata pepatah “sudah terhantuk baru termengadah”?
Allahuakbar3X, walillahilhamd.
Sidang jamaah yang dihormati sekelian,
Dalam kita bergembira menyambut hari raya, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik, anak-anak yatim dan fakir miskin yang ada di sekeliling kita, hendaklah kita berikan bantuan dan pertolongan semuga mereka juga dapat bergembira menyambut hari raya ini. Semuga dengan doa mereka untuk kita juga, kita beroleh kebahagiaan. Hari ini hari mereka menerima ujian, hari kita belum pasti.
Hati yang dipenuhi dengan sifat takwa tentulah menjadikan kita orang yang pemurah. Takdirnya kita diberikan kekayaan, maka amat wajar sekalilah kita memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan, supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang disebut oleh Al-Quran sebagai orang yang berdusta dengan agama.
Firman Allah SWT:
(Surah al-Maa’uun: ayat 1-3)
Yang bermaksud:
“Tahukah kamu akan orang-orang yang mendustkan akan agama? Orang itu ialah orang yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”
Kita memohon perlindungan daripada Allah supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang menyakiti anak yatim dan melarikan hak orang miskin. Kita memohon kepada Allah SWT supaya masyarakat kita dipenuhi oleh orang-orang yang kaya lagi pemurah mengeluarkan zakat dan sedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik atau memberi bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana maupun golongan yang bercita-cita menyebarkan agama Allah di pusat-pusat pendidikan agama.
Golongan yang menerima bantuan ini pula hendaklah bersyukur dan redha kepada Allah SWT kerana walaupun dalam serba kekurangan tetapi masih banyak nikmat Allah yang dapat dikecapi. Mudah-mudahan dengan sifat sedemikian, sifat tamak haloba dan penyakit hasad dengki dapat diubati dan fitrah insan yang suci murni dapat dipelihara. Dengan demikian, kehidupan yang harmoni dan bahagia yang semua kita cita-citakan akan menjadi kenyataan.
Allahuakbar
Muslimin-muslimat yang dikasihi dan dihormati sekelian,
Semuga latihan yang kita ikuti sepanjang Ramadhan yang lalu dapat memberi sesuatu yang bermakna dalam merubah dan membentuk sikap dan kehidupan kita ke arah yang lebih baik dan mendapat keredhaan Allah SWT. Semua amal-amal baik yang kita lakukan di bulan Ramadhan hendaklah kita teruskan di sepanjang kehidupan. Amalan solat berjamaah, saling bantu-membantu, bersabar dalam kesusahan, suka memberi sumbangan dna pertolongan, memperatkan kasih-sayang terus disuburkan di samping amalan-amalan buruk dijauhi dan ditinggalkan. Dengan yang demikian, kita semua beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.