Di dalam dilema
Sabtu, September 12, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli



Salam Muallim...

Seusai menghadiri Kursus Pendedahan HSP Bahasa Arab tahun 3, saya terus bertolak pulang ke Sabak Bernam menaiki bas. Sampai sahaja di sana, saya meminta isteri saya yang sudah menunggu untuk terus ke sekolah. Tujuannya untuk mengambil surat Bengkel pembinaan modul Oman 'Ahsantum' daripada Bahagian Pendidikan Islam yang akan diadakan di Hotel Naza, Melaka pada 14 hingga 16 September ini.

Terkejut saya tatkala diberitahu oleh kerani sekolah bahawa ada 2 lagi surat jemputan program yang berlangsung dalam hari dan masa yang sama.

Surat pertama daripada Pejabat Pelajaran Daerah Sabak Bernam yang menjemput saya menjadi Fasilitator Majlis Khatam Al-Quran peringkat Daerah Sabak Bernam. Surat kedua pula dari Jabatan Pelajaran Selangor untuk menghadiri Mesyuarat Pembinaan dan Pemurnian Bahan Kursus Pemantapan j-QAF.

Pening mengingatkan 3 jemputan serentak tadi. Walaupun dari segi teori saya sudah boleh membuat pilihan berdasarkan keutamaan, namun dari segi naluri rasa terkilan juga kerana terpaksa mengikuti satu sahaja program dan terpaksa meninggalkan 2 program lagi. Oleh itu saya ingin memohon kemaafan awal-awal lagi kepada rakan-rakan yang terlibat dalam program yang disebutkan jika kelibat saya tidak kelihatan. Maaf zahir dan batin!

Paling penting, kemaafan yang tidak terhingga kepada murid-murid saya di sekolah. Maaf ye, Muallim tak dapat masuk kelas lagi minggu ini. Tapi takpe, lepas cuti nanti kita be'raya' di sekolah setiap hujung minggu ye!
Sekitar Kursus Pendedahan HSP BA
Sabtu, September 12, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Perbincangan fasilitator sebelum berbengkel

Pembentangan slot PKSR


Dr. Mohd Taib Pa sedang membentangkan Sukatan Pelajaran Bahasa Arab


Saudara Luqman sedang bercerita tentang kaedah pengajaran yang dilaksanakan di Pondok Moden Guntur, Surabaya, Indonesia

بالتوفيق والنجاح
Selasa, September 08, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Salam Muallim...


Sudah 3 kali saya tidak dapat bersama anak murid saya untuk sama-sama berdoa kerana berada di Hotel Goldcourse Klang untuk menyertai Kursus HSP Bahasa Arab. Oleh itu
di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan UPSR bagi murid tahun 6. Di doakan semoga beroleh kejayaan yang cemerlang insyaAllah.Ameen!
Apa lagi alasan untuk tidak menutup aurat?
Isnin, September 07, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli




Salam Muallim...

Dalam entri kali ini saya ingin menarik perhatian tentang seorang gadis kulit hitam remaja Amerika yang bernama Bilqis Abdul Qaadir. Daripada namanya sahaja anda sudah mengetahui bahawa beliau adalah penganut agama Islam. Soalnya ada apa pada nama Bilqis ini?

Bilqis merupakan pelajar cemerlang yang kini menuntut di Universiti Memphis, dan kecemerlangannya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi beliau juga cemerlang dalam aktiviti sukan seperti bola jaring sejak dari bangku sekolah lagi. Apa yang menyebabkan beliau kelihatan hebat adalah kecemerlangan yang beliau kecapi dalam keadaan beliau cuba memelihara auratnya sebagai seorang muslimah.




Maka tidak hairanlah Presiden Amerika Barrack Obama turut memperkenalkan gadis ini kepada mereka yang hadir dalam majlis berbuka puasa anjurannya. Beliau menganggap pencapaian Balqis boleh memberikan inspirasi bukan hanya kepada gadis muslim yang lain malah seluruh rakyatnya.


Semoga kejayaan ini akan mengangkat martabat wanita muslimah dan menepis tohmahan golongan tertentu yang menganggap bahawa kewajipan menutup aurat bagi wanita Islam adalah suatu penghalang dan menyekat kemajuan.


Mungkin ada yang berpandangan sinis mengenai sejauh mana 'sempurna'nya remaja ini dalam menutup auratnya. Lebih-lebih lagi beliau dijemput oleh Presiden Amerika, mungkin ada udang di sebalik batu. Ya, saya akur kita tidak akan lari dari perdebatan mengenainya. Namun anda perlu juga melihat realiti masyarakat Islam di sana. Dalam situasi Islam ala Amerika, mungkin itulah yang terbaik yang boleh ditonjolkan kepada masyarakat muslim disana sebagai permulaan untuk mencapai yang lebih sempurna lagi. Lagipun Islam hanyalah golongan minoriti dalam komuniti Amerika, apatah lagi hendak menjadi Agama rasmi negara.


Bagaimana pula dengan negara kita Malaysia? Sudah 52 tahun agama Islam adalah agama rasmi negara, sudahkah semua anak-anak murid kita, remaja-remaja Islam menutup aurat dengan sempurna, ataupun lebih baik daripada Bilqis? Cuba anda pergi ke sekolah esok pagi, lihat dan tenung anak-anak murid Islam anda,samada mereka di kelas, di padang semasa Pendidikan jasmani, ataupun semasa balik ke sekolah. InsyaAllah anda akan ketemu dengan jawapannya.

Mesej saya hanya satu; tiada alasan lagi untuk anda tidak menutup aurat!

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh melayari artikel dibawah dari Jamaat At-Taqwa mengenai gadis ini :

Kenapa Allah mewajibkan puasa sebulan?
Khamis, September 03, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Salam Mualllim…


"Muallim, kenape kita kena puasa sebulan jer?" tanya seorang murid penuh rasa ingin tahu. "Kenape tak buat dua bulan ker, enam bulan atau setahun terus?" tambah murid itu lagi, memberikan pandangan. Pernah juga sebelum ini ada seorang murid mengeluh tentang lamanya sebulan puasa, sambil mengharapkan agar tempoh itu dapat dikurangkan.


Begitulah ragam kanak-kanak tatkala melaksanakan ibadah puasa. Soalan yang diutarakan kadang-kadang diluar jangkaan kita sebagai seorang guru. Apakah jawapan yang paling sesuai untuk diberikan sesuai dengan aras mereka sebagai seorang murid dan kanak-kanak? Pening saya seketika.


"Dalam hidup kita, berapa tahun kita pergi sekolah?" saya bertanya kembali kepada murid itu. Jawapan yang baik bagi soalan yang baik adalah soalan yang baik!. "Kalau sekolah rendah 6 tahun, sekolah menengah pulak 6 tahun, kalau masuk universiti mungkin dalam 4 tahun. Kenapa Muallim tanya?" balas kembali. "Apa akan jadi kalau tiap tiap hari kita pergi sekolah sampai tua?" saya bertanya kembali. "Mana boleh! Kalau macamtuh bile saya nak kerja, nak beli rumah kereta macam ayah mak saya" jawab murid tersebut, marah-marah budak. "Ha macamtulah Allah suruh kita puasa" saya memulakan jawapan." Bukan setakat puasa aje, solat, zakat, haji dan lain lain ibadah semuanya ada tempoh masa tertentu" saya memberikan penerangan. " Tujuannya bile dah selesai ibadah tuh, Allah nak uji berkesan tak ibadah tuh dalam hidup kita. Macam sekolah tadi, kan hujung sekolah ada periksa, tujuannya nak tahu kita dapat tak ilmu sepanjang kita bersekolah" terang saya dengan panjang lebar. "Kalau kita sekolah sampai tua, macamana nak tahu kita pandai ke idak?"tanya saya kembali. "Ibadah kita nih macam sekolahlah, Allah nak latih kita supaya lepas habis beribadah, kita lebih bertaqwa dan beriman. Bila kita berjaya, Allah bagi ganjaran pahala, macam cikgu awak bagi A bile awak dapat jawab periksa. Begitulah jika sebaliknya. Kalau lepas puasa sebulan perangai tak berubah, bahkan makin jauh dengan Allah, Allah bagi dosa, macam awak tak dapat jawab periksa, cikgu tak bagi awak luluslah."panjang lebar saya bersyarah. "Oh camtuh, barulah faham, syukran Muallim".


Alhamdulillah, kesempatan membelek Tafsir Sya’rawi yang menghuraikan ayat pensyariatan puasa sebelum bulan Ramadhan untuk kuliah di surau banyak membantu saya memberikan jawapan kepada soalan murid itu tadi. Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menekankan mengenai penghayatan kepada ibadah yang disyariakan. Solat yang boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar adalah menifetasi daripada penghayatan kepada ibadah solat. Maknanya jika solat hanya dilihat dalam aspek ’ritual’ sahaja, belum tentu kita boleh dijauhkan daripada ujian Syaitan.


Oleh itu pandanglah dengan mata hati, insyaAllah anda akan dapati bahawa hukum Allah itu tidak menyusahkan manusia. Anda tidak akan dapat mencari hikmah syariat melalui pandangan mata kasar, seperti mana Sisters In Islam memandang hukum sebatan terhadap Kartika (walaupun hukum itu hanya sedikit sahaja daripada hukum Islam sebenar) sebagai zalim dan menyeksakan! Adakah anda begitu?