Ramadhan Kareem
Jumaat, Ogos 21, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli


Salam Muallim…

Beberapa jam lagi kita akan menyambut kedatangan bulan yang paling agung iaiu bulan Ramadhan. Suka untuk saya lontarkan satu persoalan untuk diri saya dan rakan rakan semua “Adakah anda gembira dengan kehadiran Ramadhan?”

Saya yakin ramai umat Islam bergembira dengan kehadiran Ramadhan. Namun persepsi dan tafsiran ‘gembira’ manusia terhadap Ramadhan adalah berbeza-beza, Boleh jadi dengan rasa gembira ia menambahkan dan melipatgandakan pahala mereka.

Ada yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan seperti pungguk merindukan bulan, bak Majnun merindukan Laila. Mereka rasa happy dengan Ibadah puasa yang dilakukan, enjoy dengan Solat Tarawih dan Tadarus di masjid dan surau ,feel good bangkit malam menunggu Lailatul Qadar . Alangkah indahnya hidup kita bila kita ada mood sedemikian.Mudah-mudahan kita berada di dalam golongan ini InsyaAllah.


Tetapi harus beringat,bukan semua rasa gembira terhadap Ramadhan membawa pahala. Boleh jadi rasa gembira itu bukan sahaja mengurangkan pahala, malah bertambah lagi dosa! Hadith Nabi S.A.W :


عن أبي هريرة قال: قال النبي(ص): كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صَوْمِهِ إِلا الْجُوْعُ وَالْعَطَشُ


Daripada Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda “Berapa ramai daripada kamu yang berpuasa melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga..”

Hadith Marfu’ Riwayat Ahmad

Mungkin 'seronok’nya peniaga pasar Ramadhan dek kerana untung masyuknya berganda-ganda. Niaga sebulan makan setahun! Boleh jadi si penjahit baju senyum lebar dengan tempahan yang tidak menang tangan. Maklumlah masing-masing mahu melaram pada Hari Raya nanti.

Yang membeli, yang makan gaji, ‘gembira’nya mereka kerana inilah peluang ‘merebut’ barang-barang yang hanya wujud sebulan sekali. Kalaulah ada bonus semasa pembentangan belanjawan nanti, ditambah pula dengan jualan Mega Sales di sana sini, pasti sakan raya nanti.

Kanak-kanak pula usah ditanya betapa gembiranya mereka, kerana mereka sendiri sudah mempunyai agenda di malam kala, ditambah lagi cuti sekolah menjelang tiba. Pastinya ada yang menyalahgunakan ‘lesen’ bertarawikh di Masjid dengan melakukan aktiviti sampingan seperti bermain mercun, mencuba menunggang motosikal dan seribu macam program menjelma.

Mereka semua bergembira dengan kehadiran Ramadhan, namun adakah itu yang dimaksudkan oleh Rasulullah?

Maaf, saya bukan berniat menghina sesiapa. Bukan semua manusia begitu rupa, ramai lagi manusia yang tidak bersifat sebegitu rupa di luar sana. Saya hanya mengambil beberapa contoh sahaja sebagai panduan dan iktibar, untuk diri saya terutamanya.

Pokoknya, jika setakat itu sahaja kegembiraan kita, maka Ramadhan kita tidak membawa sebarang makna. Justeru saya menyeru diri saya sendiri dan pengunjung semua untuk sama-sama menginsafi bahawa Ramadhan adalah medan untuk kita memperbaharui diri, memperbanyakkan amal seterusnya mendekatkan diri kepada Allah. Perbaharui niat, pasakkan hajat untuk menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik dalam sejarah hidup kita. Barulah berbaloi-baloi berhari raya nanti!
|
This entry was posted on Jumaat, Ogos 21, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 comments:

On 22 Ogos 2009 pada 12:28 PG , Unknown berkata...

Selamat berpuasa dari ijoks2009,semoga amalan kita tahun ini diterima oleh Allah dan dipanjangkan umur kita agar dapat berpuasa kembali tahun hadapan.Amin..