Apabila sesiapa sahaja boleh bercakap tentang Islam
Khamis, Ogos 27, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli



Salam Muallim...

Islam adalah Ad-Deen. Ad-Deen bermakna cara hidup. Apabila Islam merupakan Ad-Deen, setiap inci dan saat kehidupan manusia terikat dengan Islam. Ini kerana Islam ada tatacara, disiplin, akhlak dan peraturannya yang tersendiri. Manusia yang mengaku beragama Islam, wajib patuh dan taat dengan 'Perlembagaan' ini.

'Perlembagaan' ini Allah S.W.T sendiri yang kanunkan. Ia bukan rekaan pemimpin, wakil rakyat, ahli politik, wartawan, NGO, dan lain-lain jenis manusia di dunia ini. Tugas manusia adalah 'memahami' seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

Soalnya siapa yang nak bagi faham Perlembagaan Allah ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah Rasulullah S.A.W sendiri. Bagindalah qudwah suri tauladan yang menjadi tok guru umat manusia. Bila Rasulullah wafat, tugas ini disambung oleh para alim ulama' sehingga akhir zaman. Kenapa pula Ulama'? kerana mereka ada manhaj,disiplin dan akhlak dalam menyampaikan ilmu. Bila ada disiplin, dipimpin pula dengan akhlak Islam pandangan mereka tidak akan tersasar daripada syariat. Bukankah Ulama' itu pewaris nabi?

Namun bila semua jenis manusia berlagak pandai memberikan pandangan hukum Islam terhadap satu isu dan perkara, maka kita akan dapati pandangan mereka ini sangat bahaya. Porak peranda Islam dibuatnya!

Mulanya saya tidaklah berminat sangat memberikan komentar mengenai kes Kartika Sari Dewi Shukarno. Cukuplah pandangan beberapa ulama' boleh dijadikan rujukan seperti komentar dan kenyataan Dato Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak yang boleh dijadikan panduan dan iktibar. Tetapi artikel yang ditulis oleh Saudari Norhayati Kaprawi
menyentak hati nurani saya sebagai orang Islam. Sangat malang sekali seseorang berlagak pandai seperti doktor pakar memberikan nasihat kedoktoran dengan penuh keyakinan sedangkan dia hanya pencuci lantai hospital sahaja!

Islam bukan ikan masak asam pedas, kalau kurang masin tambah garam, kalau kurang pedas tambah cili, kalau kurang masam tambah asam!

Janganlah pula bila disebut sebatan, anda membayangkan sebatan yang dikenakan terhadap pesalah sivil di penjara. Islam meraikan keadaan pesalah dari sudut kesihatan, manakala hukuman dijalankan dalam keadaan pesalah menutup aurat. Tempat yang disebat pula banyak, bukan tertumpu pada satu tempat sahaja. Usahkan nak melibas, nak angkat ketiak pun jangan!

Apabila ia bersabitan dengan nas, ia adalah aspek yang wajib dilaksanakan oleh pengikut agamanya, kerana ia bersangkut paut dengan hubungan manusia dengan Allah, dosa pahala dan pembalasan di Akhirat. Jika kita berpandu kepada hukum had keatas peminum arak, Mazhab Syafie telah menetapkan jumlah sebatan sebanyak 80 kali manakala mazhab lain hanya 40 kali sahaja bersandarkan beberapa hadith Rasulullah dan perbuatan para sahabat.

Oleh itu janganlah kita macam ayam berak kapur apabila menyentuh hukum Islam. Hukuman yang dikenakan dalam kes ini pun hanyalah 10% daripada undang-undang Islam sebenar. Dek kerana takutkan CNN, persatuan hak asasi manusia, dan barat kita memberikan pandangan yang kononnya boleh menyejukkan hati mereka. Seperti komen Dato Seri Harussani "Sepatutnya kesalahan arak dihukum 80 kali, kalau setakat 6 kali, apa yang hendak diriuhkan?"


|
This entry was posted on Khamis, Ogos 27, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: