Nik Nur Madihah : Ikon baru pelajar Islam
Jumaat, Julai 31, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Dari sebelah kiri : Ustaz Fauzan, penulis, isteri dan Nik Nur Madihah
Salam Muallim...

Kesempatan saya mengenali Saudari Nik Nur Madihah merupakan satu peluang keemasan yang sangat saya tunggu-tunggu selama ini. Beliau layak saya gelarkan sebagai 'ikon' baru pelajar Islam masakini. Saya masih teringat ketika perjumpaan pertama yang tidak dirancang dan tidak dijangka. Ketika itu niat hanyalah untuk berjumpa sahabat yang kebetulan juga merupakan salah seorang fasilitator yang membawa Saudari Nik Madihah menjelajah pelusuk negeri memberikan motivasi. 'Kalau berkesempatan, singgahlah Sabak walaupun sekejap jer' ajak saya kepada sahabat saya itu,ajak-ajak ayam. Kesyukuran juga saya panjatkan kepada Allah S.W.T kerana hajat saya untuk membawa beliau ke bumi Sabak Bernam menjadi kenyataan.

Asalnya pihak masjid hanya menyediakan khemah dan tempat duduk yang hanya mampu memuatkan seramai 800 orang sahaja. kami juga agak gusar dengan jumlah kehadiran yang akan hadir pada malam itu, kerana kami hanya memasang banner dan menghantar surat hanya 4 hari sebelum program dapat dilangsungkan. Tambahan pula ini program pertama yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa masjid baru, pasti masing-masing berdebar-debar adakah program ini berjaya atau tidak. Namun anggapan kami meleset sama sekali, lautan manusia berasak-asak memenuhi perkarangan Masjid Pekan Sabak Bernam pada malam bersejarah itu. Audien pula dari pelbagai golongan; guru, pelajar, ibubapa, pemimpin malahan warga emas juga kelihatan pada malam tersebut, barangkali ingin melihat dengan lebih dekat wajah Saudari Nik Nur Madihah. Saya anggarkan kehadiran seramai 3000 orang. "Macam ceramah politik la syeikh!"gurau sahabat saya yang ditugaskan mengawal lalulintas dan keselamatan. Ahli Jawatankuasa pula bertungkus lumus menyediakan tikar-tikar tambahan untuk tujuan keselesaan pengunjung walaupun masih ramai lagi terpaksa berdiri.

Bagi saya Nik Nur Madihah sangat dekat dengan orang Sabak Bernam. Dekatnya beliau dengan warga Sabak Bernam kerana mereka adalah sama-sama orang kampung, yang mana mereka berkongsi gaya hidup yang serba serbi sangat sederhana. Bukanlah sebelum ini tiada pelajar yang secemerlang Nik madihah, namun apabila anak seorang nelayan yang serba serbi kekurangan secerlang pelajar yang serba serbi lengkap kehidupannya, itu merupakan satu kejutan. Sebab itu warga Sabak bernam sangat teruja dengan kehadiran beliau, kerana beliau adalah inspirasi kepada mereka. Walaupun berlainan loghat (namun tidak kedengaran Nik Madihah ber'kecek kelate' sepanjang beliau berucap), namun itu bukan penghalang bagi mereka mendengar rahsia beliau sehingga mampu mencatat 20A dalam peperiksaan SPM.

Saya merasakan Saudari Nik Nur Madihah ada 'aura'nya tersendiri berbanding pelajar-pelajar cemerlang yang lain. Maaf, saya bukanlah ingin membanding-bandingkan mahupun merendahkan pencapaian pelajar-pelajar cemerlang lain, apatah lagi men'taqdis'kan Saudari Nik Nur Madihah, namun hakikatnya pendekatan beliau sangat berbeza dengan pendekatan yang digunapakai oleh pelajar-pelajar lain. Tatkala pelajar-pelajar lain mengutamakan 'Asbab' ;kaedah, cara dan bagaimana untuk mencapai kecemerlangan, Nik Madihah sangat mengutamakan 'Musabbib' kepada kecemerlangan tersebut. Tanyalah beliau, apa rahsia sehingga beliau mampu mencapai 20A dalam SPM, pasti beliau akan menekankan '
hubungan dengan Allah' dan 'hubungan dengan manusia'. 'Latihan' harian beliau setiap hari pula adalah berselawat, berzikir, berpuasa, ber'dhuha', ber'hajat',ber'Quran' dan berjaga malam. Semua itu merupakan azimat yang disemat dari dalam jiwa beliau sejak dari kecil, dan beliau sehingga kini masih beramal dengannya.

Saudari Nik Madihah juga seorang yang istiqomah dengan pegangan Islamnya. Walaupun sudah popular, beliau masih lagi mengenakan jubah dan tudung labuh sebagai pakaian harian. Pernah beliau menceritakan bagaimana seorang wartawan mendesak beliau menukar pakaiannya dengan tudung singkat dan t-shirt lengan panjang ketat, semata-semata untuk muncul dalam satu cover majalah tempatan. Namun beliau bertegas tidak mahu bertukar pakaiannya, sehingga wartawan tersebut terpaksa akur dengan permintaannya. Bagitulah kesungguhan beliau menjaga hubungan dengan Allah S.W.T, yang mana hubungan yang baik denganNya melahirkan hubungan yang baik sesama manusia. Padanlah guru-gurunya amat menyenangi peribadi beliau, begitu juga dengan sahabat-sahabatnya.


Banyak lagi kisah yang tidak dapat saya catatkan dalam entri ini. Yang pasti ia memberikan satu motivasi dan keterujaan kepada saya untuk menyuntik ruh islam dalam program motivasi kepada murid-murid sekolah saya. Semoga Saudari Nik Nur Madihah terus berjaya dalam lapangan yang akan ditempuhi beliau di negara Jordan nanti, sebagai satu-satunya mahasiswa malaysia yang mengambil jurusan fizik di Jordan University of Science Technology.


Komputer Riba Baru
Jumaat, Julai 31, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Salam Muallim...

Alhamdulillah kali ini saya berkesempatan untuk menulis lagi. Sebelum banyak halangan untuk melayari alam siber dek beberapa urusan dan masalah yang perlu saya selesaikan. Sebenarnya hampir 2 minggu saya 'patah kaki', kerana saya terpaksa memulangkan semula laptop 'Palette' kesayangan saya kepada tuan empunya setelah 2 tahun bersama.Terasa berat hati tatkala menyerahkan semula kepada tuannya, banyak budi dan jasa telah ditaburkan kepada saya sejak saya mula dilantik menjadi Ju hingga ke hari ini.

Asalnya komputer riba itu tidak terjaga, tuan punya komputer riba itu takut menggunakannya kerana mendakwa ia banyak virus. Beliau juga berjanji akan memberi pinjam kepada saya dalam tempuh 2 tahun sekiranya komputer riba itu saya dapat perbaiki. Berbekalkan CD Recovery yang diberikan, saya mula format semula dan meningkatkan tahap RAM sehingga 1G. Hasilnya memang memuaskan!

Kamputer riba saya itu sangat unik, kerana tatkalah rakan-rakan lain biasanya menggunakan Acer, HP, Compaq, Dell dan lain-lain lagi jenama terkemuka, saya masih lagi setia bersamanya. Pernah satu ketika tatkala komputer berjenama lain tidak 'ngam' dengan pemain LCD, komputer riba inilah yang menjadi 'hero' penyelamat keadaan. Sebab itu saya tidak terfikir untuk membeli komputer riba lain, kerana komputer itu masih lagi mampu memberikan khidmat terbaiknya kepada saya.


Namun apakan daya, janji tetap janji. Akhirnya saya terpaksa menyerahkan semula demi menepati janji tersebut. Dengan sumber yang terhad dan rezeki dari 'langit', akhirnya saya dapat juga membeli komputer riba bersaiz kecil, Acer Aspire One sebagai teman baru saya selepas ini. Semoga ia memberikan khidmat yang lebih baik daripada komputer lama saya,InsyaAllah.
Program Motivasi bersama Nik Nur Madihah: Bagaimana ia bermula Siri 1
Selasa, Julai 21, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Nik Nur Madihah semasa jamuan selepas program

Salam muallim...

Kisah bermula ketika saya menghadiri Mesyuarat Model Bahasa Arab Tahun 6 di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada bulan lepas. Petang selepas check-in bilik, telefon bimbit saya berbunyi. "Salam Ustaz, kita ada projek baru, nak kena buat gerak kerja dari sekarang" jelas Abang Azmi, Pengerusi Kelab Komuniti Muda Sabak Bernam yang mana saya adalah antara tenaga penggeraknya. "Projek apetuh Abang Azmi?, ana kat luar kawasan Sabak nih, di KL" jawab ana tertanya-tanya. "Alhamdulillah kita dah dapat conformation, insyaAllah Nik Madihah pelajar cemerlang SPM 20A tuh akan datang Sabak!" terang Abang Azmi. "Alhamdulillah...akhirnya ye" balas saya. Memang dari dulu lagi kami merancang untuk mengadakan program motivasi kepada pelajar di sekitar Pekan Sabak Bernam. Cuma saya tidak menyangka bahawa tetamu program ini adalah pelajar cemerlang SPM 2008 yang mendapat 20A(19A1 1A2) dalam semua subjek. "So, enta bleh lead tak program nih?" tanya Abang Azmi. Lead? saya seakan sudah terbayang kerja-kerja yang perlu dilakukan selepas ini sebagai pengarah program. Mampukah aku?."Susah sikit la bang, ana minggu nih dah ada kat KL, minggu lagi satu pulak seminggu kat Kuala Terengganu. Mana dan nak buat semua" keluh saya."Takpe, enta balik Sabak nanti enta siapkan kertas kerja, mohon sumbangan kat PKM (Pusat Khidmat Masyarakat) DUN Sabak ngan Sungai Air Tawar. Lepas tuh buat surat kat Majlis Daerah, mohon buat kat Dewan Tun Razak. Kerja yang lain macam peralatan, banner kami settlekan. Macamane, bolehla yer?"Abang Azmi meyakinkan saya sekaligus mengarahkan saya. Saya hanya mengangguk lemah, ya Allah bolehkah aku menanggung amanah besar ini?

Perbualan kami terhenti setakat itu. Perasaan saya bermacam-macam. Gembira kerana idea yang asalnya hanya perbualan kosong sahaja antara kami menjadi kenyataan. Saya tahu bukan senang nak menjemput Saudari Nik Madihah datang memberikan ceramah motivasi dalam masa terdekat. Maklumlah beliau macam pisang goreng panas sekarang ini memenuhi undangan seluruh Malaysia. Namun tak sangka ajakan saya kepada Ustaz Fauzan, sahabat lama di Mesir yang bertanggungjawab menguruskan program motivasi Nik Madihah di salah sebuah warung makan suatu ketika dulu agar 'singgah kejap' bersama Nik Nur Madihah akhirnya menjadi realiti. Dalam masa yang sama juga saya merasa berat hati; mampukah saya memenuhi tanggungjawab ini dalam keadaan saya juga mempunyai tanggungjawab lain. Risau saya kerana perlu menyelesaikan banyak urusan program dalam tempoh yang sangat terbatas, ditambah lagi sebahagian besar masa saya akan berada di luar daerah sepanjang tempoh itu. Bolehkah?


Yang mana satu Masjid Al-Aqsa?
Khamis, Julai 16, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim...

Sekarang ini adalah musim 'Isra' dan Mikraj'. Masjid, Surau mahupun sekolah berlumba-lumba untuk mengadakan majlis ceramah Isra' dan Mikraj di tempat mereka. Maka sibuklah jadual ustaz-ustaz kita memenuhi jemputan daripada mereka.

Saya pun tidak terkecuali daripada mengha
dapi situasi ini. Tetapi tahun ini saya terpaksa membataskan jemputan ceramah lantaran tugasan diluar kawasan yang datang secara tiba-tiba. Berat juga hati tatkala terpaksa membatalkan ceramah di saat-saat akhir, namun saya harap mereka memahami kondisi dan situasi yang saya alami.

Walaubagaimanapun tahun ini saya sudah memenuhi beberapa jemputan ceramah Isra' Mikraj samada di surau mahupun di sekolah. Selalunya saya menggunakan LCD player bersama program powerpoint dalam pembentangan saya. Dalam menghurai tajuk Isra' Mikraj, cara ini lebih berkesan kerana ade beberapa slide ataupun gambar yang amat menarik jika audien dapat melihatnya sendiri.

Lazimnya dalam setiap ceramah Isra' Mikraj saya akan paparkan dua gambar ini sebagai 'set induksi' saya.



Soalan cepu emas saya adalah 'Cuba teka yang mana satu Masjid Aqsa?'. Daripada pemerhatian kasar saya mendapati lebih daripada 70% audien meneka gambar masjid berkubah kuning adalah Masjid Al-Aqsa berbanding gambar yang berkubah hijau. Maka agak terkejutlah mereka bila saya katakan bahawa Masjid Aqsa yang sebenar adalah berkubah hijau. Kubah kuning itu adalah Dome of Rock ataupun Kubah As-Sakhra' yang terletak bersebelahan dengan masjid Aqsa seperti gambar di bawah:


Sedih juga kerana ada dikalangan ustaz dan ustazah pun bersama dengan audien 70% itu. Ketika lawatan ke Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu bersama guru-guru pendidikan Islam dan Bahasa Arab sempena mesyuarat Lembaga Peperiksaan, ada di kalangan mereka pun terpinga-pinga kerana masih lagi tidak mengenali gambar Masjid Al-Aqsa yang sebenar. Malang sekali Taman Tamadun Islam pula hanya memaparkan monumen Kubah As-Sakhra' sahaja tanpa Masjid Al-Aqsa!

Masjid Al-Aqsa merupakan masjid suci umat Islam yang juga menjadi kiblat pertama Umat Islam . Lipatan sejarah menceritkan bahawa Al-Quds sentiasa menjadi rebutan zaman berzaman;ia pernah ditaklum oleh Rom,Islam,Kristian dan Yahudi pada masakini.

Zionis telah menggembar-gemburkan di seluruh dunia samada di dalam akhbar, internet dan televisyen mengelirukan umat Islam tentang wajah sebenar masjid Al-Aqsa ini. Ini adalah 'perang saraf' mereka kepada umat islam supaya mereka tidak 'perasan' masjid Al-Aqsa yang sebenar.

Jika sekiranya anda menaip membuat carian masjid Al-Aqsa di yahoo image, google image atau mana-mana pencari image internet,anda akan dapati gambar bangunan berkubah kuning ini akan kelihatan dengan tajuk masjid Al-Aqsa!

Oleh itu, berhati-hatilah selepas ini, jangan lagi terkeliru dengan mana satu al-Aqsa,dan mana satu al-Sakhrah.


Standard Prestasi Bahasa Arab
Sabtu, Julai 11, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim...

Pada 6 Julai hingga 10 Julai yang lepas saya telah dijemput hadir ke Mesyuarat Pemurnian Standard Prestasi Matapelajaran Bahasa Arab di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM). Ini merupakan kali pertama saya di jemput oleh LPM untuk menghadiri program kendalian mereka. Apabila mula-mula melihat surat jemputan, saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan 'Standard Prestasi ' yang hendak diukur dan dibincangkan. Adakah sama seperti PKSR yang sedang dilaksanakan dalam program j-QAF masakini?. Benarkah 'Standard Prestasi ini akan digunakan pada peperiksaan UPSR akan datang?. Pelbagai spekulasi dan persoalan bermain di fikiran saya sepanjang penerbangan saya hingga sampai ke sana.

Namun apabila diberi taklimat tentang 'Standard Prestasi' oleh pengurus projek, barulah persoalan tadi sedikit sebanyak terjawab. Sebenarnya Standard Prestasi ini merupakan salah satu pendekatan yang akan diperkenalkan apabila Transformasi Pendidikan dilaksanakan pada 2010 atau 2011 nanti. Sebelum ini LPM hanya bertanggungjawab menguruskan peperiksaan awam sahaja iaitu UPSR, PMR dan SPM. Namun apabila Transformasi Pendidikan akan dilaksanakan, tanggungjawab mereka lebih meluas meliputi matapelajaran elektif seperti Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Justeru jika tiada aral, ia akan dilaksanakan di sekolah rendah bermula daripada murid Pra-Sekolah dan Tahun 1 pada tahun hadapan.

Terdapat 6 'Band' yang perlu dikuasai oleh murid apabila mereka menamatkan persekolahan mereka di sekolah rendah nanti. 'Band' ini adalah penanda aras mengenai kemahiran yang telah dikuasai oleh murid. Ia bermula dari aras yang rendah iaitu Band 1 hinggalah aras yang tinggi iaitu Band 6. Secara umumnya, penanda aras Band yang perlu dikuasai oleh murid adalah seperti berikut:

Band 1: Murid memiliki Pengetahuan tentang sesuatu perkara
Band 2: Murid memiliki Pengetahuan dan pemahaman tentang sesuatu perkara
Band 3:
Murid memiliki Pengetahuan dan pemahaman serta dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari
Band 4:
Murid memiliki Pengetahuan,pemahaman dan aplikasi dengan beradab
Band 5:
Murid memiliki Pengetahuan,pemahaman dan aplikasi dengan adab terpuji
Band 6:
Murid memiliki Pengetahuan,pemahaman dan aplikasi dengan adab mithali

Aras yang disebutkan diatas ini hanyalah penanda asas sahaja bagi semua matapelajaran. Ia akan diperincikan apabila dibincangkan dalam matapelajaran masing-masing. Adapun dalam matapelajaran Bahasa Arab, ia dibahagikan kepada 4 kemahiran asas iaitu mendengar, menyebut, membaca dan menulis. Cuma di ruangan ini saya tidak boleh memberikan perincian mengenai Bahasa Arab kerana ia masih diperingkat pemurnian lagi. InsyaAllah jika sudah jadi rasmi nanti akan dikongsikan bersama. Jika anda pernah menduduki peperiksaan MUET, anda akan dapati penilaian dalam Standard Prestasi banyak persamaan dengan peperiksaan MUET.

Jadi tugas kami dalam mesyuarat tersebut adalah menyediakan contoh instrumen bagi setiap kemahiran mengikut band. Instrumen tersebut hendaklah menepati Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab (tahun 1 hingga 3 pelaksanaan 2008 manakalah tahun 4 hingga 6 pelaksanaan 2004). Jika diterima dan diluluskan, ia akan dipelbagaikan lagi menjadi beberapa set sebelum digunapakai oleh guru-guru di sekolah.

Bagaimana pula dengan PKSR Bahasa Arab? Sebenarnya PKSR ini hanyalah inisiatif daripada Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) ataupun dikenali sekarang dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) untuk membantu guru-guru Bahasa Arab dalam membuat penilaian terhadap murid-murid tanpa perlu ada Peperiksan Pertengahan Tahun. Adapun Standard Prestasi ia daripada LPM hasil daripada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri. Justeru persoalan mengenai pertembungan antara penilian standard dan PKSR masih lagi dalam proses perbincangan dan pengubahsuaian, namun berkemungkinan PKSR akan dilihat semula samada ia masih lagi releven untuk diteruskan ataupun tidak.

Oleh itu besar harapan saya samada Standard Prestasi atau PKSR yang dilaksanakan, biarlah ia bersesuaian dengan bebanan yang ditanggung oleh guru, bukannya menambah lagi beban kerja guru yang sudah sedia ada. Saya bersetuju bahawa perlunya ada penilaian, cuma biarlah instrumennya jelas dan berkadaran dengan waktu Bahasa Arab yang diajar oleh guru iaitu sejam sahaja seminggu setakat hari ini. Maklumat dari rakan-rakan lain mereka merungut tentang pelaksanaan PKSR sekarang sehingga ia menjadi isu nasional di kalangan guru-guru Bahasa Arab. Semoga Standard Prestasi yang akan digunapakai nanti membantu guru dalam menilai pencapaian murid di dalam matapelajaran Bahasa Arab dengan lebih efisien.








Mari Mengajar Cara Nabi Mengajar : Siri 1
Sabtu, Julai 04, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Sekadar gambar hiasan


RASULULLAH S.A.W MENGAJAR DENGAN SUARA YANG NYARING DAN MENGULANG TIGA KALI


Salam Muallim…

Entri kalini suka saya mengajak diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk melihat beberapa sunnah yang boleh kita praktikkan ketika mengajar di dalam kelas. Di bawah ini saya petik 2 hadith Rasulullah S.A.W :


عن عائشة رضي الله عنها قالت :


مَا كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يَسْرُدُ سَرْدَكُمْ هَذَا وَلَكِنَّهُ كَانَ يَتَكَلَّمُ بِكَلاَمٍ بَيِّنْ


فَصْلٍ، يَحْفَظُهُ مَنْ جَلَسَ إِلَيهِ – الشمائل 221 (وفي الجامع: بينه فصل)


(الترميذي 3572) قال أبو عيسى هذا حديث حسن صحيح.


Daripada Saidatina Aishah, katanya :

Tidaklah Baginda bercakap tergopoh-gapah seperti percakapan kamu akan tetapi Baginda bercakap dengan jelas dan teratur, sehingga orang yang duduk bersama Baginda ( d dalami majlis) boleh mengingati (perkataan yang diungkapkan oleh Baginda)


عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال :


كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ يُعِيدُ الْكَلِمَةَ ثَلاَثًا لِتُعْقَلَ عَنْهُ.


(الشمائل 222. وهو في جامعه برقم 3573-قال أبو عيسى: هذا خسن صحيح غريب)


Daripada Sayyidina Anas bin Malik beliau berkata :

Rasulullah S.A.W sentiasa mengulangi satu perkataan yang diucapkannya sebanyak tiga kali agar mudah di fahami.



Hadith diatas merupakan beberapa contoh suri tauladan yang baik oleh Rasulullah S.A.W sebagai seorang ‘cikgu’. Antaranya apabila Baginda mengajar, suaranya sentiasa jelas, terang dan nyata. Baginda tidak pernah tergopoh gapah sehingga para sahabat tidak memahami apa yang dituturkan oleh Baginda . Para sahabat yang belajar di dalam kelas Baginda pula mampu mengingati satu demi satu kalam baginda, menunjukkan hebatnya ‘P and P’ Rasulullah S.A.W dalam mengawal kelas, sehingga tiada yang tidur atau bermain sesama sendiri. Masing-masing khusyu’ mendengar pengajaran Baginda. Impaknya berada dihadapan kta; ratusan ribu hadith yang diriwayatkan daripada para sahabat ahli kelas Baginda menjadi khazanah paling berharga umat Islam harini.


Sebagai seorang guru, tiadalah teladan yang paling baik melainkan mengikuti sunnah Baginda S.A.W. Ajarlah anak murid kita dengan suara yang jelas. Suara yang jelas tidak semestinya menjerit, memekik dan menempik. Cukuplah suara kita didengari murid belakang kelas kita. Janganlah pula terlalu laju sehingga nampak macam tergopoh-gapah, nanti topik yang asalnya senang jadi susah. Jika ada isi-isi penting yang perlu dipertekankan, ulanglah tiga kali untuk ikut sunnah nabi. Selamat mengajar!

Juruteknik Komputer baru
Rabu, Julai 01, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Salam Muallim...


Hari ini kami menerima kehadiran warga baru sekolah, seorang juruteknik komputer yang akan bertugas sepenuh masa. Namanya Aufa, Encik Aufa. Beliau sebelum ini bertugas di Kementerian Kewangan. Baru 3 hari bertugas terus dapat surat pindah ke sekolah kami. Orang tempatan, berasal dari Kampung Batu 2 Sapintas.

Secara peribadi saya berasa sangat lega dengan kehadiran beliau, kerana selepas ini tanggungjawab menguruskan komputer tidak lagi dibebankan kepada saya. Selama ini urusan berkaitan komputer diamanahkan kepada saya,
namun apakan daya saya bukanlah ahli dan pakar dan selok belok komputer. Tugasan dan core bussiness saya membataskan saya untuk cakna dalam hal ehwal komputer. Tambahan pula saya selalu tiada di sekolah, maka masa yang ada saya tumpukan pada proses pengajaran dan pembelajaran, membuatkan masa saya untuk Makmal Komputer terbatas.

Jika ada masalah kerosakan, saya hanya membuat laporan kepada syarikat ataupun pada BTPN. Maka datanglah juruteknik mereka dalam tempoh paling cepatpun sebulan selepas laporan dibuat. Itupun datang hanya melihat apa yang rosak sahaja. "Survey dulu ustaz, nak tau ape rosaknye". Alahai...bukankah saya dah nyatakan apa rosaknya dalam laporan. Bila ditanya bila nak datang semula untuk diperbaiki, mereka berjanji akan datang secepat mungkin. "Bile dah turun peruntukan kami datang lagi insyaAllah" janji mereka. Tapi janji tinggal janji, sampai sekarang pun tak mari-mari!

Kadang-kadang saya bosan dengan karenah birokrasi pembaikan komputer di sekolah saya. Pernah sebelum ini sebuah syarikat yang dilantik oleh Kementerian untuk penyelenggaraan komputer mengambil komputer dari sekolah untuk diperbaiki di kedai mereka. Malangnya, hanya separuh sahaja komputer yang diperbaiki dipulangkan. Mana baki komputer yang lain?

Golongan yang rugi dan teraniaya dalam hal ini tentulah murid sekolah. Mereka hanya boleh datang ke Makmal Komputer, duduk seronok dalam kesejukan hawa dingin tetapi hanya mampu melihat komputer di hadapan mereka yang tidak berfungsi. Mereka ini anak-anak kampung ....mana ada duit nak beli sebuah komputer. Kepada sekolahlah harapan mereka untuk melihat anak-anak pandai komputer. Namun apakan daya, komputer pun sudah usang dimamah usia.

Oleh itu besarlah harapan saya untuk melihat Makmal Komputer sekolah dapat berfungsi sepenuhnya dengan kehadiran beliau. Alhamdulillah....hari pertama bertugas beliau sudah membetulkan 2 buah komputer yang rosak selama ini. Hebat!. Apabila saya bertanya bagaimana beliau dapat membaiki komputer itu, beliau menggunakan barang-barang terpakai daripada komputer yang sudah digunakan di dalam stor dengan kebenaran Guru Besar. Saya sudah berjanji dengan beliau untuk sama-sama 'menggodam' komputer-komputer lama di stor sekolah hujung minggu ini!