Juruteknik Komputer baru
Rabu, Julai 01, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Salam Muallim...


Hari ini kami menerima kehadiran warga baru sekolah, seorang juruteknik komputer yang akan bertugas sepenuh masa. Namanya Aufa, Encik Aufa. Beliau sebelum ini bertugas di Kementerian Kewangan. Baru 3 hari bertugas terus dapat surat pindah ke sekolah kami. Orang tempatan, berasal dari Kampung Batu 2 Sapintas.

Secara peribadi saya berasa sangat lega dengan kehadiran beliau, kerana selepas ini tanggungjawab menguruskan komputer tidak lagi dibebankan kepada saya. Selama ini urusan berkaitan komputer diamanahkan kepada saya,
namun apakan daya saya bukanlah ahli dan pakar dan selok belok komputer. Tugasan dan core bussiness saya membataskan saya untuk cakna dalam hal ehwal komputer. Tambahan pula saya selalu tiada di sekolah, maka masa yang ada saya tumpukan pada proses pengajaran dan pembelajaran, membuatkan masa saya untuk Makmal Komputer terbatas.

Jika ada masalah kerosakan, saya hanya membuat laporan kepada syarikat ataupun pada BTPN. Maka datanglah juruteknik mereka dalam tempoh paling cepatpun sebulan selepas laporan dibuat. Itupun datang hanya melihat apa yang rosak sahaja. "Survey dulu ustaz, nak tau ape rosaknye". Alahai...bukankah saya dah nyatakan apa rosaknya dalam laporan. Bila ditanya bila nak datang semula untuk diperbaiki, mereka berjanji akan datang secepat mungkin. "Bile dah turun peruntukan kami datang lagi insyaAllah" janji mereka. Tapi janji tinggal janji, sampai sekarang pun tak mari-mari!

Kadang-kadang saya bosan dengan karenah birokrasi pembaikan komputer di sekolah saya. Pernah sebelum ini sebuah syarikat yang dilantik oleh Kementerian untuk penyelenggaraan komputer mengambil komputer dari sekolah untuk diperbaiki di kedai mereka. Malangnya, hanya separuh sahaja komputer yang diperbaiki dipulangkan. Mana baki komputer yang lain?

Golongan yang rugi dan teraniaya dalam hal ini tentulah murid sekolah. Mereka hanya boleh datang ke Makmal Komputer, duduk seronok dalam kesejukan hawa dingin tetapi hanya mampu melihat komputer di hadapan mereka yang tidak berfungsi. Mereka ini anak-anak kampung ....mana ada duit nak beli sebuah komputer. Kepada sekolahlah harapan mereka untuk melihat anak-anak pandai komputer. Namun apakan daya, komputer pun sudah usang dimamah usia.

Oleh itu besarlah harapan saya untuk melihat Makmal Komputer sekolah dapat berfungsi sepenuhnya dengan kehadiran beliau. Alhamdulillah....hari pertama bertugas beliau sudah membetulkan 2 buah komputer yang rosak selama ini. Hebat!. Apabila saya bertanya bagaimana beliau dapat membaiki komputer itu, beliau menggunakan barang-barang terpakai daripada komputer yang sudah digunakan di dalam stor dengan kebenaran Guru Besar. Saya sudah berjanji dengan beliau untuk sama-sama 'menggodam' komputer-komputer lama di stor sekolah hujung minggu ini!


|
This entry was posted on Rabu, Julai 01, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: