Standard Prestasi Bahasa Arab
Sabtu, Julai 11, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim...

Pada 6 Julai hingga 10 Julai yang lepas saya telah dijemput hadir ke Mesyuarat Pemurnian Standard Prestasi Matapelajaran Bahasa Arab di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM). Ini merupakan kali pertama saya di jemput oleh LPM untuk menghadiri program kendalian mereka. Apabila mula-mula melihat surat jemputan, saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan 'Standard Prestasi ' yang hendak diukur dan dibincangkan. Adakah sama seperti PKSR yang sedang dilaksanakan dalam program j-QAF masakini?. Benarkah 'Standard Prestasi ini akan digunakan pada peperiksaan UPSR akan datang?. Pelbagai spekulasi dan persoalan bermain di fikiran saya sepanjang penerbangan saya hingga sampai ke sana.

Namun apabila diberi taklimat tentang 'Standard Prestasi' oleh pengurus projek, barulah persoalan tadi sedikit sebanyak terjawab. Sebenarnya Standard Prestasi ini merupakan salah satu pendekatan yang akan diperkenalkan apabila Transformasi Pendidikan dilaksanakan pada 2010 atau 2011 nanti. Sebelum ini LPM hanya bertanggungjawab menguruskan peperiksaan awam sahaja iaitu UPSR, PMR dan SPM. Namun apabila Transformasi Pendidikan akan dilaksanakan, tanggungjawab mereka lebih meluas meliputi matapelajaran elektif seperti Pendidikan Islam dan Bahasa Arab. Justeru jika tiada aral, ia akan dilaksanakan di sekolah rendah bermula daripada murid Pra-Sekolah dan Tahun 1 pada tahun hadapan.

Terdapat 6 'Band' yang perlu dikuasai oleh murid apabila mereka menamatkan persekolahan mereka di sekolah rendah nanti. 'Band' ini adalah penanda aras mengenai kemahiran yang telah dikuasai oleh murid. Ia bermula dari aras yang rendah iaitu Band 1 hinggalah aras yang tinggi iaitu Band 6. Secara umumnya, penanda aras Band yang perlu dikuasai oleh murid adalah seperti berikut:

Band 1: Murid memiliki Pengetahuan tentang sesuatu perkara
Band 2: Murid memiliki Pengetahuan dan pemahaman tentang sesuatu perkara
Band 3:
Murid memiliki Pengetahuan dan pemahaman serta dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari
Band 4:
Murid memiliki Pengetahuan,pemahaman dan aplikasi dengan beradab
Band 5:
Murid memiliki Pengetahuan,pemahaman dan aplikasi dengan adab terpuji
Band 6:
Murid memiliki Pengetahuan,pemahaman dan aplikasi dengan adab mithali

Aras yang disebutkan diatas ini hanyalah penanda asas sahaja bagi semua matapelajaran. Ia akan diperincikan apabila dibincangkan dalam matapelajaran masing-masing. Adapun dalam matapelajaran Bahasa Arab, ia dibahagikan kepada 4 kemahiran asas iaitu mendengar, menyebut, membaca dan menulis. Cuma di ruangan ini saya tidak boleh memberikan perincian mengenai Bahasa Arab kerana ia masih diperingkat pemurnian lagi. InsyaAllah jika sudah jadi rasmi nanti akan dikongsikan bersama. Jika anda pernah menduduki peperiksaan MUET, anda akan dapati penilaian dalam Standard Prestasi banyak persamaan dengan peperiksaan MUET.

Jadi tugas kami dalam mesyuarat tersebut adalah menyediakan contoh instrumen bagi setiap kemahiran mengikut band. Instrumen tersebut hendaklah menepati Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Arab (tahun 1 hingga 3 pelaksanaan 2008 manakalah tahun 4 hingga 6 pelaksanaan 2004). Jika diterima dan diluluskan, ia akan dipelbagaikan lagi menjadi beberapa set sebelum digunapakai oleh guru-guru di sekolah.

Bagaimana pula dengan PKSR Bahasa Arab? Sebenarnya PKSR ini hanyalah inisiatif daripada Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) ataupun dikenali sekarang dengan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) untuk membantu guru-guru Bahasa Arab dalam membuat penilaian terhadap murid-murid tanpa perlu ada Peperiksan Pertengahan Tahun. Adapun Standard Prestasi ia daripada LPM hasil daripada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri. Justeru persoalan mengenai pertembungan antara penilian standard dan PKSR masih lagi dalam proses perbincangan dan pengubahsuaian, namun berkemungkinan PKSR akan dilihat semula samada ia masih lagi releven untuk diteruskan ataupun tidak.

Oleh itu besar harapan saya samada Standard Prestasi atau PKSR yang dilaksanakan, biarlah ia bersesuaian dengan bebanan yang ditanggung oleh guru, bukannya menambah lagi beban kerja guru yang sudah sedia ada. Saya bersetuju bahawa perlunya ada penilaian, cuma biarlah instrumennya jelas dan berkadaran dengan waktu Bahasa Arab yang diajar oleh guru iaitu sejam sahaja seminggu setakat hari ini. Maklumat dari rakan-rakan lain mereka merungut tentang pelaksanaan PKSR sekarang sehingga ia menjadi isu nasional di kalangan guru-guru Bahasa Arab. Semoga Standard Prestasi yang akan digunapakai nanti membantu guru dalam menilai pencapaian murid di dalam matapelajaran Bahasa Arab dengan lebih efisien.








|
This entry was posted on Sabtu, Julai 11, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: