Pujilah Anak Murid Anda!
Isnin, Jun 29, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Salam Muallim...


Puji-pujian adalah faktor pendorong atau faktor motivasi yang amat kuat untuk kanak-kanak. Oleh kerana usia mereka masih muda, lazimnya mereka perlukan ganjaran dan penghargaan yang bersifat luaran (extrinsik). Bukan saja kata-kata pujian kita menjadi doa yang mustajab, malah ia akan menjadikan kanak-kanak lebih berani dan yakin untuk menghadapi apa jua cabaran yang bakal ditempuhinya.

Dalam konteks sekolah, murid-murid yang dipuji lazimnya akan lebih bersemangat untuk meneruskan pembelajaran dan menjadi pendorong kepada rakannya yang lain untuk bersaing bagi mendapat pujian yang sama dari gurunya.
Pengalaman ketika melakukan lawatan kerja ke sekolah-sekolah di Oman mendedahkan kepada saya betapa guru di sana tidak lokek memberi pujian kepada anak muridnya, samada mereka seorang murid yang bijak atau sebaliknya. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh guru-guru kita di sini.

Namun amat menyedihkan apabila melihat segelintir guru-guru kita yang sering menggunakan perkataan kesat kepada anak murid. Ketika dalam perjalanan ke sekolah pagi tadi saya mendengar rintihan seorang ibu di dalam sebuah stesen radio yang merayu anaknya yang berumur 12 tahun supaya kembali ke sekolah. Sudah dua bulan anak perempuannya tidak mahu hadir, lebih-lebih lagi peperiksaan UPSR semakin hampir. Apa yang lebih dikesalkan anak perempuannya tidak mahu ke sekolah kerana tidak mahu berjumpa dengan seorang guru yang sering memanggilnya dengan panggilan 'bodoh'. Amat malang sekali alam pendidikan kita masih ada lagi guru sedemikan rupa!

Oleh itu saya menyeru kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan agar tidak jemu memberi pujian,dorongan dan semangat kepada anak murid semasa dalam proses pengajaran mahupun di luar kelas, berkadaran dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Di sini saya kongsikan bersama beberapa perkataan pujian di dalam Bahasa Arab yang boleh di gunakan oleh guru-guru semasa proses pengajaran. Ini adalah sebahagian daripada modul 'لغةالفصل' yang kami rombongan dari Oman sedang bina dan akan dibentang dan dilaksanakan di seluruh sekolah jika tiada aral, insya-Allah. Antara contohnya adalah:

  1. أحسنتم!
  2. بارك الله فيكم!
  3. إجابتكم ممتازة!
  4. أنت حلوة!
  5. جزاكم الله، أنتم كلكم ممتاز!
  6. اشكرك كثيرا!
  7. أحبكم يا أولادي، صوتكم جميل!
  8. أنت غبقري!
  9. أنت بارع !
  10. أنت بطل الأبطال!
Puji adalah senjata utama membina keyakinan anak – anak. Oleh itu pujilah anak – anak dan murid – murid anda. Paling tidak anda akan lihat hidung mereka jadi mancung, taklah kemek lepek kepek macam anda...hehe jangan marah!
|
This entry was posted on Isnin, Jun 29, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: