Khamis, September 03, 2009
| Author:
Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Mualllim…
"Muallim, kenape kita kena puasa sebulan jer?" tanya seorang murid penuh rasa ingin tahu. "Kenape tak buat dua bulan ker, enam bulan atau setahun terus?" tambah murid itu lagi, memberikan pandangan. Pernah juga sebelum ini ada seorang murid mengeluh tentang lamanya sebulan puasa, sambil mengharapkan agartempoh itu dapat dikurangkan.
Begitulah ragam kanak-kanak tatkala melaksanakan ibadah puasa. Soalan yang diutarakan kadang-kadang diluar jangkaan kita sebagai seorang guru. Apakah jawapan yang paling sesuai untuk diberikan sesuai dengan aras mereka sebagai seorang murid dan kanak-kanak? Pening saya seketika.
"Dalam hidup kita, berapa tahun kita pergi sekolah?" saya bertanya kembali kepada murid itu. Jawapan yang baik bagi soalan yang baik adalah soalan yang baik!. "Kalau sekolah rendah 6 tahun, sekolah menengah pulak 6 tahun, kalau masuk universiti mungkin dalam 4 tahun. Kenapa Muallim tanya?" balas kembali. "Apa akan jadi kalau tiap tiap hari kita pergi sekolah sampai tua?" saya bertanya kembali. "Mana boleh! Kalau macamtuh bile saya nak kerja, nak beli rumah kereta macam ayah mak saya" jawab murid tersebut, marah-marah budak. "Ha macamtulah Allah suruh kita puasa" saya memulakan jawapan." Bukan setakat puasa aje, solat, zakat, haji dan lain lain ibadah semuanya ada tempoh masa tertentu" saya memberikan penerangan. " Tujuannya bile dah selesai ibadah tuh, Allah nak uji berkesan tak ibadah tuh dalam hidup kita. Macam sekolah tadi, kan hujung sekolah ada periksa, tujuannya nak tahu kita dapat tak ilmu sepanjang kita bersekolah" terang saya dengan panjang lebar. "Kalau kita sekolah sampai tua, macamana nak tahu kita pandai ke idak?"tanya saya kembali. "Ibadah kita nih macam sekolahlah, Allah nak latih kita supaya lepas habis beribadah, kita lebih bertaqwa dan beriman. Bila kita berjaya, Allah bagi ganjaran pahala, macam cikgu awak bagi A bile awak dapat jawab periksa. Begitulah jika sebaliknya. Kalau lepas puasa sebulan perangai tak berubah, bahkan makin jauh dengan Allah, Allah bagi dosa, macam awak tak dapat jawab periksa, cikgu tak bagi awak luluslah."panjang lebar saya bersyarah. "Oh camtuh, barulah faham, syukran Muallim".
Alhamdulillah, kesempatan membelek Tafsir Sya’rawi yang menghuraikan ayat pensyariatan puasa sebelum bulan Ramadhan untuk kuliah di surau banyak membantu saya memberikan jawapan kepada soalan murid itu tadi. Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menekankan mengenai penghayatan kepada ibadah yang disyariakan. Solat yang boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar adalah menifetasi daripada penghayatan kepada ibadah solat. Maknanya jika solat hanya dilihat dalam aspek ’ritual’ sahaja, belum tentu kita boleh dijauhkan daripada ujian Syaitan.
Oleh itu pandanglah dengan mata hati, insyaAllah anda akan dapati bahawa hukum Allah itu tidak menyusahkan manusia. Anda tidak akan dapat mencari hikmah syariat melalui pandangan mata kasar, seperti mana Sisters In Islam memandang hukum sebatan terhadap Kartika (walaupun hukum itu hanya sedikit sahaja daripada hukum Islam sebenar) sebagai zalim dan menyeksakan! Adakah anda begitu?
Jumaat, Ogos 28, 2009
| Author:
Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim...
Lazimnya guru kita adalah manusia. Daripada mereka kita mengambil ilmu, hikmah dan pengajaran untuk panduan dalam kehidupan. Boleh jadi setiap manusia adalah guru kita; samada kita mengambil ilmunya secara sengaja ataupun tidak, samada mereka sedar mahupun tidak. Tetapi bukan semua guru terdiri daripada manusia. Alam sekililng, tumbuhan dan haiwan juga Allah jadikan di dunia sebagai 'tuan guru' kepada manusia. Jika direnung dan difikir, kadang-kadang terbit rasa malu lantaran alam yang tidak beraqal ini lebih mulia akhlak dan perangainya berbanding manusia yang bertamadun.
Di kesempatan ini saya ingin berkongsi satu klip video yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan kita. Semoga pelajaran yang diambil daripada video ini menginsafkan kita yang sebagai seorang 'manusia'.
Khamis, Ogos 27, 2009
| Author:
Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim...
Islam adalah Ad-Deen. Ad-Deen bermakna cara hidup. Apabila Islam merupakan Ad-Deen, setiap inci dan saat kehidupan manusia terikat dengan Islam. Ini kerana Islam ada tatacara, disiplin, akhlak dan peraturannya yang tersendiri. Manusia yang mengaku beragama Islam, wajib patuh dan taat dengan 'Perlembagaan' ini.
'Perlembagaan' ini Allah S.W.T sendiri yang kanunkan. Ia bukan rekaan pemimpin, wakil rakyat, ahli politik, wartawan, NGO, dan lain-lain jenis manusia di dunia ini. Tugas manusia adalah 'memahami' seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan mereka.
Soalnya siapa yang nak bagi faham Perlembagaan Allah ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah Rasulullah S.A.W sendiri. Bagindalah qudwah suri tauladan yang menjadi tok guru umat manusia. Bila Rasulullah wafat, tugas ini disambung oleh para alim ulama' sehingga akhir zaman. Kenapa pula Ulama'? kerana mereka ada manhaj,disiplin dan akhlak dalam menyampaikan ilmu. Bila ada disiplin, dipimpin pula dengan akhlak Islam pandangan mereka tidak akan tersasar daripada syariat. Bukankah Ulama' itu pewaris nabi?
Namun bila semua jenis manusia berlagak pandai memberikan pandangan hukum Islam terhadap satu isu dan perkara, maka kita akan dapati pandangan mereka ini sangat bahaya. Porak peranda Islam dibuatnya!
Mulanya saya tidaklah berminat sangat memberikan komentar mengenai kes Kartika Sari Dewi Shukarno. Cukuplah pandangan beberapa ulama' boleh dijadikan rujukan seperti komentar dan kenyataan Dato Seri Harussani Zakaria, Mufti Perak yang boleh dijadikan panduan dan iktibar. Tetapi artikel yang ditulis oleh Saudari Norhayati Kaprawimenyentak hati nurani saya sebagai orang Islam. Sangat malang sekali seseorang berlagak pandai seperti doktor pakar memberikan nasihat kedoktoran dengan penuh keyakinan sedangkan dia hanya pencuci lantai hospital sahaja!
Islam bukan ikan masak asam pedas, kalau kurang masin tambah garam, kalau kurang pedas tambah cili, kalau kurang masam tambah asam! Janganlah pula bila disebut sebatan, anda membayangkan sebatan yang dikenakan terhadap pesalah sivil di penjara. Islam meraikan keadaan pesalah dari sudut kesihatan, manakala hukuman dijalankan dalam keadaan pesalah menutup aurat. Tempat yang disebat pula banyak, bukan tertumpu pada satu tempat sahaja. Usahkan nak melibas, nak angkat ketiak pun jangan!
Apabila ia bersabitan dengan nas, ia adalah aspek yang wajib dilaksanakan oleh pengikut agamanya, kerana ia bersangkut paut dengan hubungan manusia dengan Allah, dosa pahala dan pembalasan di Akhirat. Jika kita berpandu kepada hukum had keatas peminum arak, Mazhab Syafie telah menetapkan jumlah sebatan sebanyak 80 kali manakala mazhab lain hanya 40 kali sahaja bersandarkan beberapa hadith Rasulullah dan perbuatan para sahabat. Oleh itu janganlah kita macam ayam berak kapur apabila menyentuh hukum Islam. Hukuman yang dikenakan dalam kes ini pun hanyalah 10% daripada undang-undang Islam sebenar. Dek kerana takutkan CNN, persatuan hak asasi manusia, dan barat kita memberikan pandangan yang kononnya boleh menyejukkan hati mereka. Seperti komen Dato Seri Harussani "Sepatutnya kesalahan arak dihukum 80 kali, kalau setakat 6 kali, apa yang hendak diriuhkan?"
Jumaat, Ogos 21, 2009
| Author:
Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim…
Beberapa jam lagi kita akan menyambut kedatangan bulan yang paling agung iaiu bulan Ramadhan. Suka untuk saya lontarkan satu persoalan untuk diri saya dan rakan rakan semua “Adakah anda gembira dengan kehadiran Ramadhan?”
Saya yakin ramai umat Islam bergembira dengan kehadiran Ramadhan. Namun persepsi dan tafsiran ‘gembira’ manusia terhadap Ramadhan adalah berbeza-beza, Boleh jadi dengan rasa gembira ia menambahkan dan melipatgandakan pahala mereka.
Ada yang bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan seperti pungguk merindukan bulan, bak Majnun merindukan Laila. Mereka rasa happy dengan Ibadah puasa yang dilakukan, enjoy dengan Solat Tarawih dan Tadarus di masjid dan surau ,feel good bangkit malam menunggu Lailatul Qadar. Alangkah indahnya hidup kita bila kita ada mood sedemikian.Mudah-mudahan kita berada di dalam golongan ini InsyaAllah.
Tetapi harus beringat,bukan semua rasa gembira terhadap Ramadhan membawa pahala. Boleh jadi rasa gembira itu bukan sahaja mengurangkan pahala, malah bertambah lagi dosa! Hadith Nabi S.A.W :
عن أبي هريرةقال: قال النبي(ص): كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صَوْمِهِ إِلا الْجُوْعُ وَالْعَطَشُ
Daripada Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda “Berapa ramai daripada kamu yang berpuasa melainkan hanya mendapat lapar dan dahaga..”
Hadith Marfu’ Riwayat Ahmad
Mungkin 'seronok’nya peniaga pasar Ramadhan dek kerana untung masyuknya berganda-ganda. Niaga sebulan makan setahun! Boleh jadi si penjahit baju senyum lebar dengan tempahan yang tidak menang tangan. Maklumlah masing-masing mahu melaram pada Hari Raya nanti.
Yang membeli, yang makan gaji, ‘gembira’nya mereka kerana inilah peluang ‘merebut’ barang-barang yang hanya wujud sebulan sekali. Kalaulah ada bonus semasa pembentangan belanjawan nanti, ditambah pula dengan jualan Mega Sales di sana sini, pasti sakan raya nanti.
Kanak-kanak pula usah ditanya betapa gembiranya mereka, kerana mereka sendiri sudah mempunyai agenda di malam kala, ditambah lagi cuti sekolah menjelang tiba. Pastinya ada yang menyalahgunakan ‘lesen’ bertarawikh di Masjid dengan melakukan aktiviti sampingan seperti bermain mercun, mencuba menunggang motosikal dan seribu macam program menjelma.
Mereka semua bergembira dengan kehadiran Ramadhan, namun adakah itu yang dimaksudkan oleh Rasulullah?
Maaf, saya bukan berniat menghina sesiapa. Bukan semua manusia begitu rupa, ramai lagi manusia yang tidak bersifat sebegitu rupa di luar sana. Saya hanya mengambil beberapa contoh sahaja sebagai panduan dan iktibar, untuk diri saya terutamanya.
Pokoknya, jika setakat itu sahaja kegembiraan kita, maka Ramadhan kita tidak membawa sebarang makna. Justeru saya menyeru diri saya sendiri dan pengunjung semua untuk sama-sama menginsafi bahawa Ramadhan adalah medan untuk kita memperbaharui diri, memperbanyakkan amal seterusnya mendekatkan diri kepada Allah. Perbaharui niat, pasakkan hajat untuk menjadikan Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik dalam sejarah hidup kita. Barulah berbaloi-baloi berhari raya nanti!
Rabu, Ogos 19, 2009
| Author:
Mohd Ikmal Izwan bin Rosli
Salam Muallim...
Ketika mengendalikan kelas tasmik pada waktu tengahari, saya dihubungi oleh Ustaz Zamri, Penolong Pengarah Bahasa Arab Selangor dan Ustaz Khairiel Mukhtar, Penolong Pengarah Bahasa Arab Melaka. Mereka meminta saya rakaman video 'Ta'allum Ta'awuni' yang di hasilkan oleh Dr. Muhammad Uqlah, ketua tenaga pengajar semasa kami berkursus di Oman. Kami bersetuju untuk bertemu di Restoran Ikan Bakar Jeram pada pukul 9 malam.
Pada awalnya saya hanya menjangkakan hanya kami bertiga sahaja yang akan berjumpa, namun anggapan saya meleset. Rupa-rupanya ada majlis makan malam yang dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum kepada pegawai-pegawai SPI seluruh negara. Mereka semua mengenakan baju formal batik sedangkan saya hanya memakai pakaian santai sahaja. Kaget saya seketika!
Namun begitu saya berkesempatan berjumpa semula dengan pegawai j-QAF yang turut sama ke Oman seperti Ustaz Esibi dan Ustaz Lutfi. Turut sama pada malam itu adalah Ustazah Faseha, Penolong Pengarah Bahasa Arab BPI. Malangnya Ustaz Khairiel dan Ustaz Zamri tidak dapat hadir sama. Thumb drive yang saya minta mereka berikan kepada Ustaz Wan Yusuf, pegawai j-QAF Selangor untuk di'copy'. Orang lain yang berjanji, orang lain pula yang datang!
Beberapa maklumat juga saya dapat ketika bersembang bersama mereka terutama daripada Ustazah Faseha. Jika tiada aral InsyaAllah Kursus JU Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada pertengahan bulan September di Hotel Gold Course, Klang. Ustazah Faseha memaklumkan bahawa setiap negeri akan menghantar seramai 4 JU Bahasa Arab ke Kursus tersebut yang mana salah seorang daripadanya mestilah peserta kursus di Oman. Sebab itulah mereka meminta saya video tersebut kerana ia akan digunakan semasa kursus itu nanti.
Jadi kesimpulan saya, kemungkinan besar Kursus Bahasa Arab peringkat negeri juga akan diadakan pada tahun ini selepas berakhirnya kursus peringkat kebangsaan. Jadi kepada sahabat-sahabat guru Bahasa Arab, selamat menghadiri kursus jika ada surat panggilan.
Khusus sahabat Min Nahnu li nahnu nahnu fakatjer, tidak sabar rasanya hendak berjumpa dengan anda semua. Bolehlah kita 'pekena' ikan bakar Selangor pulak, sup kambing pun boleh tahan disini. Paling kurangpun masa balik nanti dapat merasa cendol pun jadila. Jangan ada yang tertinggal flight lagi sudah!
Nama : Mohd Ikmal Izwan bin Rosli Tarikh Lahir : 19 Februari 1981 Asal : Selayang Baru Selangor Pekerjaan : Guru Bahasa Arab (Kohort pertama j-QAF) Tempat Bekerja : SK Batu 38 Sabak Bernam, Selangor Pendidikan : SK Selayang Baru 1, Selangor SMA Izzuddin Shah, Ipoh Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Universiti Al-Azhar, Mesir Institut Perguruan Islam, Bangi Email : namrullah@yahoo.com