Nik Nur Madihah : Ikon baru pelajar Islam
Jumaat, Julai 31, 2009 | Author: Mohd Ikmal Izwan bin Rosli

Dari sebelah kiri : Ustaz Fauzan, penulis, isteri dan Nik Nur Madihah
Salam Muallim...

Kesempatan saya mengenali Saudari Nik Nur Madihah merupakan satu peluang keemasan yang sangat saya tunggu-tunggu selama ini. Beliau layak saya gelarkan sebagai 'ikon' baru pelajar Islam masakini. Saya masih teringat ketika perjumpaan pertama yang tidak dirancang dan tidak dijangka. Ketika itu niat hanyalah untuk berjumpa sahabat yang kebetulan juga merupakan salah seorang fasilitator yang membawa Saudari Nik Madihah menjelajah pelusuk negeri memberikan motivasi. 'Kalau berkesempatan, singgahlah Sabak walaupun sekejap jer' ajak saya kepada sahabat saya itu,ajak-ajak ayam. Kesyukuran juga saya panjatkan kepada Allah S.W.T kerana hajat saya untuk membawa beliau ke bumi Sabak Bernam menjadi kenyataan.

Asalnya pihak masjid hanya menyediakan khemah dan tempat duduk yang hanya mampu memuatkan seramai 800 orang sahaja. kami juga agak gusar dengan jumlah kehadiran yang akan hadir pada malam itu, kerana kami hanya memasang banner dan menghantar surat hanya 4 hari sebelum program dapat dilangsungkan. Tambahan pula ini program pertama yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa masjid baru, pasti masing-masing berdebar-debar adakah program ini berjaya atau tidak. Namun anggapan kami meleset sama sekali, lautan manusia berasak-asak memenuhi perkarangan Masjid Pekan Sabak Bernam pada malam bersejarah itu. Audien pula dari pelbagai golongan; guru, pelajar, ibubapa, pemimpin malahan warga emas juga kelihatan pada malam tersebut, barangkali ingin melihat dengan lebih dekat wajah Saudari Nik Nur Madihah. Saya anggarkan kehadiran seramai 3000 orang. "Macam ceramah politik la syeikh!"gurau sahabat saya yang ditugaskan mengawal lalulintas dan keselamatan. Ahli Jawatankuasa pula bertungkus lumus menyediakan tikar-tikar tambahan untuk tujuan keselesaan pengunjung walaupun masih ramai lagi terpaksa berdiri.

Bagi saya Nik Nur Madihah sangat dekat dengan orang Sabak Bernam. Dekatnya beliau dengan warga Sabak Bernam kerana mereka adalah sama-sama orang kampung, yang mana mereka berkongsi gaya hidup yang serba serbi sangat sederhana. Bukanlah sebelum ini tiada pelajar yang secemerlang Nik madihah, namun apabila anak seorang nelayan yang serba serbi kekurangan secerlang pelajar yang serba serbi lengkap kehidupannya, itu merupakan satu kejutan. Sebab itu warga Sabak bernam sangat teruja dengan kehadiran beliau, kerana beliau adalah inspirasi kepada mereka. Walaupun berlainan loghat (namun tidak kedengaran Nik Madihah ber'kecek kelate' sepanjang beliau berucap), namun itu bukan penghalang bagi mereka mendengar rahsia beliau sehingga mampu mencatat 20A dalam peperiksaan SPM.

Saya merasakan Saudari Nik Nur Madihah ada 'aura'nya tersendiri berbanding pelajar-pelajar cemerlang yang lain. Maaf, saya bukanlah ingin membanding-bandingkan mahupun merendahkan pencapaian pelajar-pelajar cemerlang lain, apatah lagi men'taqdis'kan Saudari Nik Nur Madihah, namun hakikatnya pendekatan beliau sangat berbeza dengan pendekatan yang digunapakai oleh pelajar-pelajar lain. Tatkala pelajar-pelajar lain mengutamakan 'Asbab' ;kaedah, cara dan bagaimana untuk mencapai kecemerlangan, Nik Madihah sangat mengutamakan 'Musabbib' kepada kecemerlangan tersebut. Tanyalah beliau, apa rahsia sehingga beliau mampu mencapai 20A dalam SPM, pasti beliau akan menekankan '
hubungan dengan Allah' dan 'hubungan dengan manusia'. 'Latihan' harian beliau setiap hari pula adalah berselawat, berzikir, berpuasa, ber'dhuha', ber'hajat',ber'Quran' dan berjaga malam. Semua itu merupakan azimat yang disemat dari dalam jiwa beliau sejak dari kecil, dan beliau sehingga kini masih beramal dengannya.

Saudari Nik Madihah juga seorang yang istiqomah dengan pegangan Islamnya. Walaupun sudah popular, beliau masih lagi mengenakan jubah dan tudung labuh sebagai pakaian harian. Pernah beliau menceritakan bagaimana seorang wartawan mendesak beliau menukar pakaiannya dengan tudung singkat dan t-shirt lengan panjang ketat, semata-semata untuk muncul dalam satu cover majalah tempatan. Namun beliau bertegas tidak mahu bertukar pakaiannya, sehingga wartawan tersebut terpaksa akur dengan permintaannya. Bagitulah kesungguhan beliau menjaga hubungan dengan Allah S.W.T, yang mana hubungan yang baik denganNya melahirkan hubungan yang baik sesama manusia. Padanlah guru-gurunya amat menyenangi peribadi beliau, begitu juga dengan sahabat-sahabatnya.


Banyak lagi kisah yang tidak dapat saya catatkan dalam entri ini. Yang pasti ia memberikan satu motivasi dan keterujaan kepada saya untuk menyuntik ruh islam dalam program motivasi kepada murid-murid sekolah saya. Semoga Saudari Nik Nur Madihah terus berjaya dalam lapangan yang akan ditempuhi beliau di negara Jordan nanti, sebagai satu-satunya mahasiswa malaysia yang mengambil jurusan fizik di Jordan University of Science Technology.


|
This entry was posted on Jumaat, Julai 31, 2009 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 comments:

On 3 Ogos 2009 pada 8:45 PTG , Unknown berkata...

Saya tumpang bangga menjadi rakyat kelantan kerana kami mempunyai Nik Nor Madihah seorang contoh muslimat sejati di zaman yang penuh cabaran ini.Lepas ni mesti ada yang berebut nak jadikan menantu.Hihi..